-
Perhimpunan Agung UMNO 2009 Suntik Semangat Baru
Persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir pada 16/10/09 dengan ucapan penangguhan oleh Presidennya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuntik semangat baru kepada lebih 2500 perwakilan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Najib menekankan perubahan perlu dizahirkan dengan ikhlas dan bukan hanya sanggup berjanji di dalam Dewan Merdeka bersama-sama para perwakilan lain sebaliknya ia dilaksanakan di kawasan masing-masing dengan menunjukkan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas berkaitan pindaan Perlembagaan UMNO yang telah diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan.
“Mood para perwakilan kita adalah baik dan kerana itu ia mampu dizahirkan dengan sebulat suara, apatah lagi ia telah dibincangkan dalam peringkat bahagian dan dikaji secara mendalam,” katanya.
Berkaitan dengan penghapusan sistem kuota yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan tersebut, beliau menyatakan bahawa ia adalah keputusan bersama, dibincang dalam mesyuarat Biro Politik UMNO lantas bersama dengan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepakat untuk menghapuskannya kerana tidak rela berselindung di sebalik sistem kuota.
“Ada yang bertanya kepada saya, tidak takutkah jika hapuskan sistem ini, tetapi saya tetap mengambil keputusan demikian kerana perisai saya adalah semua ahli-ahli UMNO,” katanya yakin.
Menurutnya, kalau Presiden dapat menjalankan khidmat kepada parti, rakyat dan negara, maka tentunya nasib beliau seterusnya akan dinilai oleh ahli-ahli UMNO dan terserahlah kepada mereka.
“Saya akan berkhidmat kepada parti selagi mana saya dimahukan malah dengan penghapusan kuota inilah akan memberi dorongan kepada saya dan ahli-ahli Majlis Tertinggi untuk bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Beliau menekankan lagi, sekiranya mahu menjadi pemimpin perlulah mempunyai teladan yang baik dan sanggup untuk turun padang bagi melihat sendiri segala permasalahan yang berlaku.
“Saya amat menghargai semua ketua bahagian dan para perwakilan kerana bersetuju dengan pindaan Perlembagaan UMNO yang membuktikan bahawa semua inginkan perubahan dan bersikap terbuka dalam melaluinya.”
Katanya, beliau mahukan UMNO bersikap lebih inklusif supaya pihak dapat menyertai UMNO tanpa sebarang sekatan atau halangan daripada pihak tertentu.
“Selepas pindaan ini maka tidak akan ada lagi ‘borang hilang’ dan sebagainya kerana sesiapa yang mahu menjadi ahli lebih mudah apabila bukan hanya Ketua Bahagian sahaja yang boleh mengesahkannya tetapi juga Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri boleh berbuat demikian.
“Kita buka UMNO seluas-luasnya kepada semua kerana UMNO adalah parti pergerakan massa dan parti yang menghimpunkan segala latar belakang tanpa menyekat kepada sesiapa pun,” ujarnya.
Tegasnya, kedudukan tidak penting kerana apa yang lebih penting adalah matlamat perjuangan lantas kerana itu ia perlu disampaikan kepada generasi baru agar perjuangan berterusan.
Beliau turut memberi amaran agar jangan sesekali ada pihak yang cuba mahu mengeksploitasi sistem Perlembagaan tersebut kerana ia adalah sistem yang bersih dan akan dipastikan bahawa ia akan berjalan dengan mantap dan teratur.
“Kita mesti buat kerja agar UMNO tetap jadi juara kepada rakyat,” katanya.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan: kalau nak kekal jawatan, buatlah kerja, barulah parti ada kepimpinan yang dinamik.
0 comments: