"Agama tidak harus dijadikan alat mainan politik. Tindakan PAS mengamalkan bai’ah memperlekehkan wanita. Diskriminasi seperti ini tidak perlu dilakukan kerana dalam Islam kita perlu hormat pada wanita. Mereka inilah yang jadi ibu kepada kita. Jika tidak ada ibu, kita pun tak ada,” kata Tun Dr Mahathir Mohammad.

Bercakap dalam satu sidang media selepas memberi syarahan berjudul “Peranan Wanita Dalam Pembinaan Negara” di Kuala Lumpur, Selasa, mantan Perdana Menteri itu berkata, beliau percaya Islam tidak menggalakkan amalan bai’ah seperti itu.

“Kita tidak boleh membuat pengakuan atau ikrar sebegitu. Ia tak sama dengan ikrar masa kita buat apabila kita berkahwin. Mereka melakukan ini seperti wanita itu tidak ada suara dan sesiapa sahaja. Amalan seperti ini boleh memecahbelahkan keluarga.

“Dulu saya sudah berkali-kali berkata, jangan campur adukkan agama dengan politik. Agama bukan alat yang boleh digunakan untuk kepentingan sendiri dalam politik. Itu tidak betul.

“PAS ingin tunjuk agama Islam ini agama yang buruk, suka menekan, tak rasional dan mengajar benda-benda tak munasabah, seperti, kalau masuk Pas boleh masuk syurga,” tambahnya.

Menurut Mahatir, PAS asalnya dianggotai oleh sekumpulan ulama UMNO, tetapi disebabkan parti itu tidak memberi mereka peluang menjadi calon pilihanraya, kumpulan serpihan itu merasakan mereka boleh menggunakan Islam untuk meraih populariti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang turut berada dalam sidang media berkenaan, berpendapat, tindakan PAS adalah perbuatan yang keji dan satu usaha untuk menutup suara wanita Islam.

“Ini baru permulaan dan kita tidak boleh biarkan ia berlaku. Kebelakangan ini saya lihat ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menghalang wanita Islam bersuara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tun Mahathir, apabila ditanya pendapatnya mengenai kemelut yang dihadapi oleh PAS dan MCA, berkata,” Kita dapati kebanyakan ahli-ahli politiik lebih mengutamakan diri sendiri, bukannya parti, bangsa atau negara.

“Mereka sering bertanya apa yang mereka dapat daripada negara dan bukannya apa yang boleh mereka sumbangkan kepada negara. Kalau ada sikap macam ini, parti pasti akan tetap berpecah,” tambahnya.